3,900 PATI ditahan dalam 3,700 operasi.

SEPANG 24 Jan. - Sejumlah 3,900 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang digaji oleh 106 majikan ditahan dan dikenakan pelbagai tindakan oleh Jabatan Imigresen menerusi operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) yang bermula Oktober tahun lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam berkata, jumlah yang ditahan itu adalah sebahagian daripada 38,000 PATI yang diperiksa dalam 3,700 operasi di seluruh negara.
"Apa yang saya ingin tegaskan ialah majikan perlu memainkan peranan masing-masing iaitu mendaftarkan pekerja warga asing seperti yang ditetapkan di lapan Cawangan Pusat Setempat (OSC) yang terpilih.
"Majikan masih ada masa kerana pendaftaran secara pentadbiran proses permohonan pemutihan akan diteruskan bagi PATI yang telah berdaftar sepanjang tempoh 1 hingga 31 Ogos tahun lalu.
"Ambil peluang yang ada ini untuk daftarkan pekerja masing-masing atau akan berhadapan dengan tindakan undang-undang," katanya selepas mengetuai Operasi Agensi Penguatkuasaan Bersepadu di Bagan Lalang semalam.
Menurut Mahmood, seramai 341,956 PATI telah melalui proses pemutihan dan pengampunan manakala 26,760 majikan hadir di lapan OSC 6P.
Daripada jumlah tersebut katanya, angka paling tinggi dicatatkan adalah di pusat setempat Jabatan Imigresen Putrajaya iaitu 15,391 permohonan majikan bagi pemutihan 126,960 PATI diikuti Seberang Jaya, Pulau Pinang (3,507 majikan, 11,057 PATI) dan Johor Bahru (2,122 majikan, 8,928 PATI).
Selain itu menurutnya, pusat setempat yang turut mencatatkan proses pemutihan tertinggi adalah Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya (2,125 majikan, 8,334 PATI); Jabatan Imigresen Presint 15 (823 majikan, 4,305 PATI); Kuantan (1,339 majikan, 4,065 PATI); Jalan Duta (759 majikan, 4,036 PATI) dan Jabatan Imigresen Pelabuhan Klang (694 majikan, 2,483 PATI).

sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment