Pekerja restoran maut ditetak tujuh pelanggan

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Seorang pekerja restoran maut akibat ditetak dengan pisau pemotong daging di muka, tangan dan kaki oleh tujuh pelanggannya yang berang hanya kerana diminta menjelaskan bil minuman di sebuah restoran di Taman Daya Kepong, di sini tengah malam tadi.
Kejadian pukul 12.45 tengah malam itu bermula apabila mangsa yang dikenali sebagai Ah Chun, 46, meminta kesemua lelaki itu menjelaskan bil minuman kerana premis tersebut hendak ditutup.
Kumpulan lelaki yang berada di bawah pengaruh alkohol itu bagaimanapun enggan menjelaskan bil tersebut mengakibatkan berlaku pertengkaran.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kumpulan itu kemudian menyerang mangsa dan pemilik restoran itu, Lim Kok Keng, 41, dengan menggunakan kerusi dan botol.
"Ah Chun lalu mengambil sebilah pisau yang digunakan untuk memotong daging dari dapur untuk mempertahankan diri menyebabkan salah seorang suspek mengalami kecederaan.
"Malangnya, Ah Chun tiba-tiba tergelincir lalu terjatuh bersama pisau yang dipegangnya. Salah seorang suspek kemudian mengambil pisau itu lalu menetaknya beberapa kali di muka, tangan dan kaki sehingga mati," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, pemilik restoran yang melihat mangsa ditetak cuba untuk membantu dengan mengambil pisau pemotong sayur, namun pisau terbabit berjaya dirampas kumpulan berkenaan.
"Pemilik restoran itu turut ditetak di bahagian kepala, muka dan perut. Selepas insiden itu, kesemua suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Saga dan sebuah motosikal," ujarnya.


Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment